BAB 5 : PENGURUSAN MURID

 NAMA: NUR ATIRAH BINTI MOHD KHAIDZIR

NO. MATRIK: D20192091436


BAB 5: PENGURUSAN MURID

Pengurusan murid merupakan satu proses mengendalikan sama ada manusia atau fizikal dengan tujuan untuk mencapai matlamat dan objektif pada tahap yang memuaskan. Pengurusan murid melibatkan proses perancangan, pentaksiran, pengelolaan, pentadbiran, pengawalan dan pemulihan terhadap murid. Pengurusan murid merangkumi aspek yang luas seperti aspek disiplin, akademik, sahsiah dan kejayaan murid. Oleh yang demikian, pengurusam yamg sistematik dalam menguruskan rekod muriod perlu dititikberatkan. Dalam strategi pengajaran berpusatkan murid ini, guru hendaklah memastikan murid-murid belajar sesuatu dan membina pengetahuan mereka sendiri melalui aktiviti yang dilakukan. Selain itu, strategi ini juga dapat meningkatkan penglibatan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kemahiran berfikir, menambahkan keyakinan diri, menggalakkan murid menghasilkan idea dan memberi pendapat, menggalakkan murid membina ilmu dan mewujudkan suasana kerjasama dalam kalangan murid. Bagi menguruskan pelajar dengan jumlah yang banyak di sesebuah sekolah, dokumen telah diguna pakai bagi membolehkan maklumat murid ini dapat disimpan dalam jangka masa yang panjang. Terdapat tiga elemen pengurusan murid iaitu pengurusan rekod murid, kesediaan murid dan memotivasikan murid

Pengurusan rekod murid

Mengurus rekod murid merupakan salah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh guru. Pengurusan rekod murid dikaitkan dengan aktiviti mencatat bidang pengurusan yang bertanggungjawab untuk menjaga, bersistematik mengawal penciptaan, penerimaan, penggunaan dan ciri rekod termasuklah proses menjaga dan memelihara bukti dan maklumat murid ke dalam bentuk rekod.

Terdapat beberapa perkara yang harus dipertimbangkan semasa menghasilkan rekod iaitu tujuan, aspek, perincian dan juga pertimbangan yang praktikal. Rekod murid yang dibuat harus dilindungi dan dijaga dengan baik kerana mengandungi maklumat yang boleh memberitahu guru mengenai persekitaran setiap anak muridnya. Rekod yang ingin dibuat juga perlu dibuat dengan rapi dan sistematik kerana sistem rekod murid yang baik akan dapat membantu guru untuk merancang sistem pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan efisien. 

Pengurusan rekod ini bertujuan:

  • Memantapkan sistem pengurusan murid di sekolah
  • Mengemaskini data murid
  • Mengetahui perkembangan akademik, emosi, sahsiah dan tingkah laku murid
  •  Meyediakan maklumat lengkap tentang murid
  • Menjadi panduan kepada ibu bapa berkaitan prestasi anak-anak
Terdapat dua kaedah dalam mengurus rekod murid iaitu kaedah konvensional (manual) dan juga kaedah moden (atas talian).

1.     Manual
  •  Rekod pendaftaran
  • Rekod profil
  • Rekod kedatangan
  • Rekod kutipan yuran
  • Rekod prestasi
  • Rekod kesihatan
2.     Atas talian
  • Sistem Salah Laku Disiplin Murid (SSDM)
          -    Sistem yang digunakan untuk mengawal dan mengekalkan disiplin pelajar.
          -    Mengunakan konsep Merit dan Demerit iaitu ganharan dan denda.
  • Sistem Analisis Pentaksiran Sekolah (SAPS)
          -    Berfungsi dengan mengumpul, menyimpan dan menganalisis data peperiksaan di sekolah.
  • Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM)
          -   Mengumpul maklumat dan profil murid.

Kesediaan murid

Kesediaan murid merupakan keupayaan perkembangan dan kognitif murid untuk menerima idea atau konsep pada masa tertentu. Tahap kesediaan murid mampu mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Murid yang mempunyai tahap kesediaan yang rendah lebih mudah hilang fokus ketika belajar. Kesediaan murid untuk belajar adalah fleksibel dan boleh berubah mengikut konteks.

1. Kesediaan kognitif

Persediaan dari segi kognitif bermaksud kesediaan mental seseorang untuk memahami, memikir dan menakul dalam keadaan pembelajaran yang baru. Kognitif dikaitkan dengan proses mental mengubah input sensori kepada bentuk yang lebih bermakna dengan merekod, menyimpan dan menggunakan semula maklumat yang sedia ada. Hal ini dapat melihat cara seseorang menggunakan maklumat yang sedia ada dalam persekitarannya dan peranan ingatan dalam membuat keputusan. Kemahiran kognitif seseorang berkembang seiring dengan perkembangan intelektual mereka. Pengetahuan sedia ada pelajar boleh dikutip dan disimpan daripada pengalaman mereka bersama masyarakat dan alam sekeliling sepanjang proses pembesaran mereka di samping itu, pengalaman dan pengetahuan tersebut akan terus menjadi memori bagi setiap individu.

2. Kesediaan afektif

Kesediaan afektif ialah sikap keinginan, semangat, ketekunan, perasaan dan minat seseorang untuk melaksanakan sesuatu aktiviti pembelajaran. Pembelajaran afektif didemonstrasikan melalui perlakuan yang menunjukkan sikap kesedaran, minat, prihatin dan bertanggungjawab. Melalui kesediaan ini, pelajar dapat meningkatkan kadar pembelajaran pelajar, minat terhadap pembelajaran dan juga persaingan yang sihat dalam kalangan mereka. Minat yang mendalam menjadi kunci utama dalam memotivasikan pelajar untuk mencapai tahap pemahaman dan pencapaian yang tinggi. Melalui minat juga, mereka juga akan menganggap bahawa proses pembelajaran merupakan sesuatu yang menyeronokkkan dan mendatangkan kepuasan kepada diri pelajar itu sendiri. Domain afektif ini juga sangat berkait rapat dengan harga diri dan cara murid menganggap diri mereka sebagai pelajar. Apabila pelajar merasakan mereka bagus dan baik sebagai seorang pelajar, mereka akan lebih bersedia menghadapi risiko dan menumpukan kepada pembelajaran seterusnya.

3. Kesediaan psikomotor

Kesediaan psikomotor merujuk kepada murid yang mempunyai potensi dan bersedia untuk melakukan tindakan fizikal dan menggunakan fungsi tubuh badan sebagai penggerak utama. Bagi kesediaan psikomotor pula, tahap perkembangan murid adalah berbeza walaupun mempunyai umur yang sama. Keadaan ini kerana, kesediaan amat berkait rapat dengan latihan. Tidak dapat dinafikan kemahiran fizikal seperti ini memerlukan proses latihan yang berterusan dan betul. Contoh mata pelajaran yang berkait dengan kesediaan psikomotor adalah pendidikan jasmani, kemahiran hidup dan permainan alat muzik. Melalui latihan ini, pelajar dapat memperbaiki prestasi psikomotor mereka disamping kesediaan psikomotor ini amat berkait rapat dengan kesediaan kognitif dan afektif.  Hal ini berikutan kemahiran psikomotor memerlukan tahap pemikiran yang kreatif dan kritis disamping minat dan sikap yang mendalam terhadap kemahiran ini.

Faktor mempengaruhi tahap kesediaan murid:

  • Kematangan murid dalam aspek fizikal, intelek, sosial dan emosi
  • Keadaan/suasana tempat belajar
  • Pengalaman murid
  • Pengaruh rakan sebaya
  • Peranan/sikap guru

3.     Memotivasikan murid

Memotivasikan murid merupakan satu tujuan atau dorongan tingkah laku yang diransangkan oleh sesuatu intensif. Ia juga merupakan satu proses yang membangkitkan, mengekalkan dan mengawal minat murid. Proses ini dapat membantu meningkatkan pencapaian murid kerana motivasi ini dapat menaikkan semangat murid untuk belajar di samping meningkatkan kadar tumpuan murid.

Terdapat dua teknik dalam memotivasikan murid:

  •  Teknik intrinsik

Teknik intrinsik melibatkan dorongan dari dalaman dan minat seseorang murid untuk melakukan sesuatu tanpa berfikir dan mengharapkan ganjaran. Ia juga dikaitkan dengan naluri ingin tahu dan dorongan mencapai kecekapan. Motivasi ini wujud secara semula jadi tetapi boleh terbentuk daripada pengalaman dan pembelajaran.

  • Teknik ekstrinsik

Teknik ekstrinsik merupakan ransangan luaran untuk menggerakkan murid melakukan sesuatu perkara yang memberi kebaikan kepada dirinya. Sebagai contoh, murid belajar untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Peranan guru dalam memotivasikan murid adalah dengan menggunakan gaya bahasa yang positif untuk meningkatkan semangat murid serta mengambil berat tentang keperluan murid dengan memahami masalah mereka dan membantu dalam menyelesaikan masalah. Perkara ini dapat mewujudkan suasana belajar yang kondusif. Selain itu, guru perlu menentukan sasaran pencapaian yang perlu dicapai dan berusaha untuk menarik minat pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran. Guru juga perlu mengelakkan hukuman berat dan tidak menunjukkan tekanan terhadap murid. Hal ini demikian kerana, perlakuan ini dapat memberikan kesan negatif kepada murid. Antara pendekatan yang boleh dilakukan oleh guru untuk meningkatkan motivasi:

1. Ganjaran

Pelajar yang tidak mempunyai motivasi atau dikenali sebagai pelajar yang bermasalah ini boleh dimotivasikan secara luaran dengan menyediakan pelbagai bentuk ganjaran. Antaranya, mengenal pasti kebaikan dan kelebihan pelajar agar mereka akan ingat dan sering melakukan kebaikan pada masa yang akan datang. Pelbagai bentuk ganjaran boleh diberikan seperti hadiah, puji-pujian, markah bonus dan sebagainya. Ganjaran yang diberikan bukan sahaja terhadap pencapaian peperiksaan cemerlang, bahkan kepada usaha atau kebaikan yang telah ditunjukkan oleh para pelajar. Dengan memberikan insentif ini pelajar akan berusaha dengan lebih keras untuk menguasai pengetahuan dan maklumat dan mereka akan bersaing secara sihat antara satu sama lain untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Ganjaran ini amat berkesan secara tidak langsung mampu menjana motivasi dalam diri pelajar.

2. Tetapkan Matlamat

Guru yang mengajar setiap mata pelajaran haruslah menetapkan matlamat bagi setiap pelajarnya iaitu bagi setiap subjek yang dipelajarinya. Guru juga perlu mengikuti perkembangan pelajar dan memastikan setiap pelajar mampu merealisasikan matlamat masing-masing. Contohnya, bagi subjek Kimia, guru yang mengajar subjek tersebut haruslah menetapkan matlamat kepada pelajar bahawa mereka harus faham tentang topik yang diajar pada hari tersebut di akhir kelas. Jika matlamat tersebut tidak dapat dicapai, guru harus membimbing pelajar supaya matlamat tersebut tercapai. Selain itu juga guru dapat menetapkan matlamat pelajar dengan mengadakan program kecemerlangan iaitu kelas tambahan, program juara, program menetapkan target dan lain-lain lagi untuk mendapatkan matlamat yang ditarget oleh pelajar tersebut.

3. Mengambil berat

Pelajar akan memberikan respon yang positif terhadap guru yang mengambil berat mengenai diri dan masalah mereka. Memahami adalah lebih baik dari menghukum. Ada ketikanya guru perlu bercerita mengenai pengalaman sendiri. Misalnyanya, memberitahu kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan sebagai satu teladan untuk pelajar. Keadaan ini kerana melalui cara ini dapat mewujudkan kemesraan antara hubungan guru dan pelajar. Ada ketikanya guru perlu bertemu pelajar secara personal untuk membuktikan yang guru benar-benar mengambil berat tentang mereka di samping guru haruslah mencuri sedikit masa supaya sesi perbincangan secara personal dapat dilakukan kepada semua pelajar.

Kesimpulannya, pengurusan murid merangkumi aspek utama yang terdiri daripada merekod murid, persediaan murid untuk belajar dan memotivasikan murid merupakan bidang yang perlu dititikberatkan dalam pengurusan sekolah. Pengurusan murid tidak tertumpu kepada tanggungjawab pihak sekolah sahaja malah guru juga memainkan peranan bagi memastikan pengurusan yang sistematik. Pelbagai kemudahan aplikasi telah disediakan dalam menguruskan rekod murid. Pengurusan murid yang baik dapat melahirkan murid yang cemerlang dan mempunyai semangat yang tinggi untuk belajar. Hal ini demikian kerana, melalui rekod pelajar yang disediakan, pelajar dapat tahu akan segala perkembangan, kebolehan, kemajuan serta pencapaiaan mereka. Melalui rekod ini, guru juga boleh membantu memotivasikan dan menyiapkan diri pelajar. Semua pihak perlu bekerjasama dalam menguruskan murid bagi melahirkan seorang insan yang seimbang dalam pelbagai aspek.

 

Rujukan:

Ermie Dharlya Che Daud & Aslina Saad. (2013). Sistem maklumat pengurusan dalam talian 

di sekolah dalam konteks Malaysia. Seminar Kebangsaan ICT Dalam Pendidikan. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/314283785_Sistem_Maklumat_Pengurusan_dalam_talian_di_sekolah_dalam_konteks_Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2019). Jurnal Penyelidikan Pendidikan, 20. Putrajaya: Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan

Nur Hanani Hussin, Mohd Aderi Che Noh & Ab. Halim Tamuri. (2013). Elemen mengenali murid dalam pengajaran guru cemerlang Pendidikan Islam. The Online Journal of Islamic Education, 1(2), 10-19. Diperoleh daripada https://ojie.um.edu.my/article/view/5526/3285

Nurul Fadly Habidin, Nursyazwani Mohd Fuzi, Ummu Aiman Muhamad, Tuan Waheda Tuan Chik & Yong S.Y.O. (2019). Amalan terbaik dalam penambahbaikan sistem pendidikan: pengajaran dan penyelidikan. Diperoleh daripada https://umexpert.um.edu.my/public_view.php?type=publication&row=ODU5Mzg%3D

Siti Fatimah Nor Ab Wahab. (2006). Sistem analisis prestasi akademik murid: Sekolah Kebangsaan Selayang Utama. Diperoleh daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/1345/1/SitiFatimahNorMFC2006.pdf

No comments:

Post a Comment

  SENARAI AHLI KUMPULAN 1.  SOEBAH BINTI MOHAMMAD RODZI D20192091369   AT36-ISMP TAHFIZ ALQURAN DAN QIRAAT 2.  NURUL HUSNA BINTI MOHAMMED JA...