NAMA : NUR HAFIZAH BINTI ISHAK
NO MATRIK : D20192091439
Objektif
· Menerangkan
konsep kajian pengurusan pembelajaran dengan lebih jelas untuk kefahaman yang
menyeluruh kepada setiap individu dalam kalangan masyarakat.
· Mengetahui langkah yang proaktif dalam pengurusan pembelajaran supaya warga sekolah berjaya mengaplikasikannya sewaktu sesi persekolahan.
· Memberi kesedaran terhadap kepentingan kajian pengurusan pembelajaran di sekolah demi kemaslahatan sejagat.
· Membincangkan
isu atau cabaran yang bakal dihadapi berkaitan kajian pengurusan pembelajaran
dari semasa ke semasa.
Pengenalan
Pengurusan boleh diterjemahkan sebagai cara yang sudah
diatur atau langkah untuk mengendalikan sesuatu perkara sehingga berhasil dan
berjaya. Menurut Huslid
(2005), pengurusan
ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan sesuatu kerja yang terancang
melalui pelaksanaan secara sistematik, teratur dan mengikut garis panduan
tertentu. Manakala Aizzat et al. (2006), merujuk pengurusan kepada proses
pencapaian matlamat mengikut cara yang berkesan dan cekap. Pengurusan yang
teratur perlu melalui proses perancangan, pengorganisasian, kepimpinan dan
pengawalan sumber-sumber organisasi. Justeru,
pengurusan ini amatlah mustahak dalam pembelajaran bagi memastikan misi dan objektif
tercapai setelah melalui proses yang sistematik.
Pengurusan pembelajaran ialah bidang pengurusan yang
paling utama dalam konteks pendidikan. Bidang ini membawa pengaruh besar bagi
sesebuah institusi pengajian termasuklah sekolah menengah. Hal ini demikian
kerana ia bagi melaksanakan segala tanggungjawab organisasi sekolah supaya
pencapaian cemerlang pelajar dari segi akademik dan akhlak terjamin. Memandangkan
para pelajarlah yang bakal meneraju tapuk kepimpinan masa hadapan, jadi
pengurusan pembelajaran telah menjadi salah satu sebab bagi merealisasikan
impian tersebut bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Pengurusan Pembelajaran
Terdapat berbagai – bagai langkah atau cara untuk
mempunyai pengurusan pembelajaran yang baik sewaktu berada di sekolah. Semuanya
telah dibahagikan kepada beberapa perspektif antaranya ialah;
1)
Perancangan
2)
Pengoraganisasian
3)
Pengarahan
4)
Pengawalan
5)
Masa
6)
Penjadualan
7)
Sumber
1.0 Perancangan
Proses perancangan melibatkan seseorang hendaklah memutuskan
tindakan yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat. Bagi seorang pendidik,
mereka sepatutnya merancang objektif pembelajaran berdasarkan sukatan pelajaran
dan pengetahuan sedia ada pelajar. Oleh itu, para guru boleh memanfaatkan Buku
Rekod Mengajar yang sepatutnya diisi mengikut perancangan harian sebelum masuk
ke dalam kelas. Dengan adanya rancangan kerja seperti rekod perancangan harian
ini, guru boleh menjalankan program pengajaran dan pembelajaran dengan lancar
yang mana sesuai berdasarkan sukatan pelajaran. Malahan, proses PdP akan
berlansung secara sistematik serta mengikut pemeringkatan pelajar. Guru turut
boleh merancang aktiviti yang menarik bagi melihat penilaian prestasi pelajar.
Contohnya, pembentangan, lakonan dan projek. Hal ini sudah tentu dapat menarik
minat pelajar untuk terus menimba ilmu walaupun dalam masa yang lama. Selalunya
pelajar akan mudah diganggu dan hilang fokus dengan cepat apabila dalam keadaan
kelas yang pasif dan bosan. Tuntaslah bahawa startegi perancangan yang efektif
dapat melahirkan pengurusan pembelajaran yang mantap.
Pengorganisasian pula ialah proses menyediakan
keperluan dan sumber manusia untuk pengendalian. Memandangkan pengorganisasian
ini lebih tertumpu di dalam sebuah kelas, maka kita boleh lihat dari sudut
carta organisasi. Setiap kelas perlulah mempunyai seorang guru kelas, ketua
kelas, penolong ketua kelas dan ahli jawatankuasa lain. Hal ini disebabkan oleh
kelas akan lebih teratur dengan adanya kepimpinan yang kukuh daripada semua
pihak. Guru kelas berfungsi sebagai individu yang akan memastikan gerak kerja,
prestasi dan kokurikulum para pelajarnya kekal di tahap yang memuaskan dan
membanggakan. Mereka juga mestilah memberi sokongan mental dan fizikal serta
motivasi yang tinggi agar pelajar terus bersemangat dalam menuntut ilmu. Selain
itu, ketua kelas, penolong ketua kelas dan ahli jawatankuasa yang lain
berperanan sebagai penggerak kepada sesuatu pekerjaan sewaktu dalam kelas.
Contohnya, ketua kelas dan penolong ketua kelas boleh membahagikan tugas dalam
membersihkan kelas kepada rakan sekelas. Manakala, ahli jawatankuasa lain
seperti ketua keceriaan dapat menyediakan perhiasan dan peralatan untuk
menghias kelas. Ahli jawatankuasa kebersihan boleh memantau kawan – kawan yang
seang bergotong royong agar semuanya melakukan kerja dan tidak curi tulang.
Kebersihan yang juga merupakan faktor yang mempengaruhi pengurusan pembelajaran
kerana kebersihan dapat mewujudkan suasana tenang dan selesa kepada pelajar.
3.0 Pengarahan
Pengarahan lebih kepada suruhan yang dilontarkan
kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perkara. Dalam sesebuah bilik darjah,
guru mempunyai kuasa untuk mengarah pelajar sewaktu proses pengajaran dan
pembelajaran berlaku. Hal ini demikian kerana arahan tersebut adalah untuk
perkembangan pelajar dalam pelajaran atau topik yang diajarkan. Arahan
hendaklah disampaikan dengan jelas dan nyata supaya murid cakna akan tugasan
mereka. Contohnya, guru memberi arahan untuk membuat kerja rumah atau latihan
latih tubi lebih kerap. Kerja rumah atau latihan latih tubi membantu dalam
meluaskan lagi pemikiran pelajar ke arah kreatif dan kritis kerana soalan yang
dikemukakan datang dalam bentuk yang pelbagai. Pelajar yang mendengar arahan
sudah tentu tidak akan rugi apa – apa tetapi lagi beruntung. Kejayaan tidak
akan dating bergolek tanpa ada kesungguhan dan kerja keras dalam menggapai
keputusan yang terbaik dalam setiap mata pelajaran di sekolah.
4.0 Pengawalan
Pengawalan bermaksud mengukur atau memantau perkembangan
operasi yang dijalankan. Dalam erti kata lain, guru yang akan mengawal
peraturan bilik pembelajaran. Guru perlu memastikan setiap pelajar akur
terhadap peraturan yang ditetapkan. Tambahan pula, para pendidik hendaklah
mengawal suasana dan keadaan kelas sewaktu aktiviti berkumpulan bermula.
Contohnya, mengelakkan pelajar membuat bising sewaktu PdP. Jadi, segala
aktiviti akan terkawal dalam pemerhatian guru. Di samping itu, guru juga boleh
memantau pelajar daripada berbagai – bagai sudut seperti jasmani, emosi, rohani
dan intelek. Hal ini demikian kerana ada juga pelajar yang mengalami tekanan
hidup dan masalah peribadi yang susah untuk diluahkan. Guru tidak boleh
bersikap mementingkan diri dan memandang enteng terhadap pelajar yang sebegitu.
Justeru, guru boleh mencadangkan untuk memberi kaunseling yang sewajarnya bagi
meringankan beban yang digalas dan mententeramkan jiwa pelajar. Sesungguhnya,
pengawalan yang baik membantu melancarkan proses pembelajaran pelajar dan
memudahkan urusan guru.
5.0 Masa
Masa itu emas. Kata – kata inilah yang sering meniti
dari bibir ke bibir masyarakat kita kerana masa tidak boleh diputar dan
seyogianya dihargai sepenuhnya. Pelajar dan guru meluangkan masa yang lama di
sekolah iaitu lebih kurang 8 jam sehari. Maka, pengurusan masa yang efisien
perlulah dipraktikkan sewaktu persekolahan. Pertama sekali, para guru
sepatutnya mengikuti jadual waktu yang telah ditetapkan. Pengajaran mestilah
berlansung dalam kadar masa yang diberikan. Kelas tidak perlu ditamatkan awal atau
dipercepatkan jika tiada keperluan berbuat sedemikian. Waktu itu perlu
pengisian yang menyeluruh berkaitan subjek yang perlu dibahaskan. Manakala,
pelajar pula hendaklah menguruskan masa dengan sebaiknya. Hal ini demikian
kerana pembelajaran akan jadi lebih mudah dan terancang. Masa hendaklah
dibahagikan sama rata seperti masa belajar, masa rehat dan masa peribadi.
Namun, ada juga pelajar yang bertindak untuk tidak hadir ke sekolah atau
ponteng hanya kerana mereka menganggap semua itu membuang masa mereka. Walhal
mereka juga menggunakan masa untuk bermain permainan komputer, permainan atas
talian dan melepak. Jelaslah, pengurusan masa juga mempengaruhi pengurusan
pembelajaran.
6.0 Penjadualan
Penjadualan berkait rapat dengan jadual waktu
pengajaran dan pembelajaran. Tugas pembinaan jadual tersebut haruslah
dipertanggungjawab kepada pihak pentadbir sekolah. Hal ini demikian kerana
mereka mepunyai kemahiran dan kepakaran dalam membina jadual waktu yang
fleksibel. Jadual waktu itu akan diagihkan kepada semua guru dan setiap kelas.
Contoh jadual waktu yang bagus ialah berkualiti, seimbang dan sistematik. Jadi,
tidak ada berlaku pertindihan atau pun kelas yang berturut – turut kepada guru
sehingga tidak sempat untuk berehat. Selain itu, jadual waktu dapat membantu
apabila guru tidak hadir atau cuti. Oleh itu, guru yang mempunyai waktu lapang
akan menggantikan kelas dan mengajar subjek atau pembelajaran pada hari
tersebut. Para pelajar tidak akan ketinggalan dan sambung belajar seperti
biasa. Namun, ada segelintir guru ganti yang membuat keputusan untuk
mengarahkan pelajar melakukan kerja masing – masing sewaktu masih lagi dalam
proses PdP. Hal ini menyebabkan pelajar alpa dan bersikap sambalewa di dalam
kelas seperti bersembang, tidur dan bermain. Justeru, penjadualan ini sedikit
sebanyak dapat membentuk pengurusan pembelajaran yang berkesan kepada pelajar
dan guru.
7.0 Sumber
Sebelum memulakan PdP, guru sewajarnya menyediakan
sumber atau bahan pembelajaran yang mencukupi dan pelbagai. Sumber atau bahan
pembelajaran boleh terdiri daripada buku teks, buku rujukan dan alat bantuan
mengajar seperti model, visual dan animasi. Persediaan alat bantuan mengajar
mestilah berguna dan sejajar dengan topik mata pelajaran. Alat bantuan mengajar
juga perlu mempunyai ciri – ciri tahan lasak dan boleh digunakan dalam jangka
masa yang panjang. Para pelajar akan mula menunjukkan minat dan tertarik akan
kaedah penyampaian daripada berbagai – bagai sumber. Mereka turut meransang
minda untuk lebih terbuka dalam pengaplikasian pembelajaran di sekeliling
persekitaran kita. Pembelajaran akan jadi aktif dan tidak lagi terbatas dengan
buku teks sahaja. Sudah terang lagi bersuluh bahawa sumber atau bahan
pembelajaran mampu mewujudkan pengurusan pembelajaran yang mantap serta bermanfaat.
Cabaran Pengurusan Pembelajaran
· Persediaan guru yang kurang lengkap sebelum memulakan kelas
· Penyelarasan dalam pengagihan tugasan guru
· Pengurusan masa yang tidak memuaskan
· Kualiti penyampaian ilmu yang tidak jelas dan sukar difahamai
· Sikap pelajar yang degil dan enggan memberikan kerjasama
· Pihak sekolah tidak mempunyai fasiliti atau kemudahan yang baik
· Guru sukar untuk memberikan fokus kerana mempunyai murid yang ramai
· Kurang kesedaran terhadap pengurusan pembelajaran yang efektif
· Jurang pendidikan yang besar antara luar bandar dan bandar
Rujukan
Ilawati Johari@Ismail. (2012). Gaya dan ciri kepimpinan pengurus pertengahan sekolah menengah di zon bandar, daerah Segamat. 1 – 99. Diperoleh daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/31318/5/IlawatiJohariMFP2012.pdf.
Mohamed Nazul Ismail. (2020). Cara kepimpinan dalam pengurusan pembelajaran digital. Jurnal Refleksi Kepimpinan, 3, 20 – 24. Diperoleh daripada http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jrk/article/view/9184/5405.
Nurzatulshima Kamarudin & Lilia Halim. (2011). Konsep pengurusan alatan dan bahan untuk pembelajaran Sains di makmal. Jurnal Teknolgi, 60, 65 – 70. Diperoleh daripada http://www.myjurnal.my/public/article-view.php?id=69685.
Raedah Md Amin. (2013). Pengurusan pengajaran dan pembelajaran sekolah rendah kebangsaan di zon bandar daerah Kota Tinggi. 1 – 109. Diperoleh daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/39043/1/RaedahMdAminMFP2013.pdf.
No comments:
Post a Comment